Tuesday 20 December 2011

Prospek bidang farmasi malap?

Bidang farmasi merupakan bidang yang luas prospek kerjayanya. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun, bidang farmasi merupakan profesion yang penting dan dihormati dalam memastikan aspek kesihatan masyarakatnya dalam keadaan baik dan terpelihara.
Di Malaysia, bidang farmasi merupakan bidang yang baru menempah nama sekitar lima hingga 10 tahun lalu. Keperluan ahli farmasi yang terlalu tinggi dalam sektor awam khususnya mendorong ramai pelajar memilih bidang farmasi sebagai kursus pilihan mereka di universiti kerana bidang ini menjanjikan prospek kerjaya yang cerah.
Pada sekitar tahun 2006, diuar-uarkan bahawa jumlah ahli farmasi berdaftar masih lagi sedikit. Negara memerlukan lebih ramai ahli farmasi untuk berkhidmat kerana ahli farmasi masih belum mencukupi menjelang tahun 2020.
Dalam usaha untuk meningkatkan jumlah ahli farmasi berdaftar di Malaysia, banyak institusi pengajian tinggi (IPT) swasta yang mula menawarkan kursus Sarjana Muda Farmasi (Bachelor of Pharmacy) sehingga jumlah kursus farmasi yang ditawarkan di IPT swasta melebihi jumlah kursus farmasi yang ditawarkan di IPT awam.
Statistik mengenai Maklumat Kedudukan Perjawatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertarikh 1 Januari 2011 menunjukkan bahawa kekosongan ahli farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia hanya terdapat sekitar 91 orang yang mewakili peratusan kekosongan sebanyak dua peratus. Ini jelas menunjukkan bahawa jumlah ahli farmasi dalam perkhidmatan awam mulai penuh dan kekosongan yang ada terlalu sedikit untuk menampung graduan farmasi yang terlalu ramai saban hari.
Selaku graduan farmasi IPT awam dan pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), saya terlalu risau dan takut dengan keadaan ini. Saya dan rakan-rakan sudah pun menerima surat tawaran lantikan sebagai pegawai farmasi U41 daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan kini sedang menunggu surat arahan posting daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Walau bagaimanapun, daripada berita yang kami terima, sebahagian daripada kami terlibat dalam 'pembekuan' oleh pihak JPA dan sehingga kini kami masih belum dapat kepastian bilakah kami dapat memulakan langkah pertama kami sebagai provisional registered pharmacist di Malaysia.
Menurut maklumat yang diterima daripada Amalan Perkembangan Farmasi, posting untuk kami terpaksa ditangguhkan ke satu tempoh yang belum dapat dipastikan tarikhnya disebabkan oleh pembekuan ini. Pembekuan ini amat mengecewakan kami kerana sebahagian daripada rakan kami dari universiti yang lain telah jauh meninggalkan kami dan telah memulakan kerjaya mereka.
Kami sendiri tidak pasti sama ada pembekuan ini disebabkan oleh Pekeliling JPA mengenai pembekuan pengambilan/pemansuhan semua jawatan dalam jabatan kerajaan yang berkuat kuasa 1 Jun 2011 atau pembekuan ini disebabkan oleh tiada tempat kosong untuk menampung jumlah kami dalam hospital-hospital kerajaan seperti mana desas-desus yang hangat diperkatakan ketika ini.
Perkara yang lebih menyedihkan kami adalah kenapa sebahagian daripada rakan-rakan kami dari universiti lain dikecualikan daripada pembekuan ini dan telah diterima untuk berkhidmat, sedangkan kami masih menunggu jawapan yang belum pasti.
Justeru, saya dan rakan-rakan menyeru agar pihak JPA atau pihak berwajib tampil untuk menjelaskan isu ini dan menyelesaikan isu ini dengan cepat dan berhemah kerana hal ini melibatkan masa depan kami. Kedudukan kami tidak seperti graduan universiti yang lain kerana ijazah yang kami miliki tidak akan laku selagi kami tidak mendapat lesen khas ahli farmasi dan nombor pendaftaran penuh daripada Lembaga Farmasi Malaysia.
Kami pelajar farmasi dari IPT awam ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang farmasi melalui tiket meritokrasi dan bukan mudah untuk mendapatkannya terutamanya bagi kaum bumiputera. Ada daripada kalangan kami yang datang dari desa dan menjadi harapan keluarga untuk mengubah nasib keluarga satu hari nanti.
Saya dan rakan-rakan merayu kepada pihak berwajib agar pandanglah kami yang sedikit ini dan berikanlah kami peluang untuk membina masa depan kami. Sekiranya sudah tiada tempat lagi untuk kami dalam perkhidmatan awam, cukuplah sekiranya pihak JPA dan Kementerian Kesihatan Malaysia memberi ruang untuk kami menjalankan housemenshipuntuk mendapatkan lesen sebagai ahli farmasi berdaftar.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang berwajib sekiranya dapat menyelesaikan masalah ini dengan cepat dan berhemah.

3 comments:

  1. lau ko mmg la malap pul.,kne pkai fair n lovely..bru cerah cikit..
    hehehehe

    ReplyDelete
  2. mak aiii....takut jgak coz aku pun ambik farmasi jgak.......

    ReplyDelete